Friday, December 10, 2010

Bahasa berlapik..

Aku tak faham. Sungguh aku tak faham dengan orang yang berbasa-basi ni . Aku jenis straight forward. ‘A’ yang orang cakap, maka ‘A’ la yang aku faham. Apa yang cuba maksudkan disini bukan dari segi ayat yang orang boleh salah faham, ayat yang panjang lebar dan memerlukan penerangan lebih seperti macam mana nak publish Web site. Kalau cakap pada mak sah-sah tak faham, tapi dari segi ayat seharian. Ayat menjaga air muka. Cakap berlapik la lebih kurang. Masalahnya aku banyak tak faham. Lambat pick up. Dalam lain kata aku tak faham kalau orang tu bercakap tapi di fikirannya hanya sekadar nak nak Nampak baik, sedangkan tidak bermaksudnya langsung. Contoh ‘Meh makan sekali’ sedangkan kita tahu ianya lebih ajak-ajak ayam jer.


Semasa aku di sekolah menengah, aku rasakan aku terlalu naïf. Aku mudah percaya cakap orang. Mungkin kerana pergaulanku agak terhad di zaman tu. Bukan mak ayah menghalang, malah tak pernah kisah pun kalau aku nak keluar berkawan. Hanya aku sendiri tak mahu. Aku lebih suka duduk di rumah. Duduk bersama buku-bukuku atau menonton televisyen. Duduk di alam khayalan, orang kata. Lantaklah ada aku kisah. Itu aku dan duniaku dan mungkin kerana itu tidak memahami dunia sebenar.

Masa tu aku sungguh tak faham. Kenapa saudara mara boleh masing-masing tersenyum dan bergurau senda, tapi pada masa yang sama dalam hati penuh dengan caci maki dan sifat tamak, walaupun kepada saudara sendiri. Aku tak faham kenapa mereka bertemu, tertawa, tapi kemudian wajah perasaan di wajah tidak menggambarkan keceriaan. Mak ayahku pula jarang nak bercerita jika mereka ada perselisihan faham dengan saudara mara. Tak mahu anak-anak terlibat dan turut bermasam muka agaknya. Jadi aku banyak tak tahu dari yang tahu. Tak ambil tahu lebihnya.

Menjejak kaki ke Universiti, bapa saudaraku pernah berkata padaku, kalau ingin buku rujukan, minta saja pada anaknya. Aku pula anak yang tidak memahami erti berbasa-basi, meminta kepada anaknya. Sedangkan si anak tidak tahu apa-apa. Aku tak tahu malu, hanya meminta. Kemudian meminta ayahku mengambilnya. Aku ternampak keadaan muka ayahku yang terkejut. Sungguh aku tak faham pada ketika itu. Tapi kerana aku sudah meminta, diambilkan juga. Sekian lama, setelah aku bertambah dewasa, aku teringat keadaan itu. Kasihan ayah. Mesti dia malu, anaknya meminta-minta. Dan aku kini, yang baru mula mengerti, malu juga. Tapi kisah sudah lama berlalu. Tapi kenapalah aku lambat memahami.


Aku mudah mengingati janji. Sejak kecil, ayah tidak memanjakanku dengan harta benda. Hanya cukup keperluan yang ada. Tidak pula aku meminta secara memaksa. Dapat, maka akan jadi milikku. Tak dapat, aku lupakan sajalah. Kadang cemburu dengan teman-teman yang bercerita dan menunjukkan hak mereka. ‘Aku punya seluar yang cantik’. ‘Aku punya pensel warna yang berbagai warnanya, melebihi dari biasa’. Itu kata mereka. Aku juga ada seluar, tapi seluarku biasa sahaja. Aku juga ada pensel warna, tapi 12 sahaja warnanya. Bukankah itu sudah mencukupi. Aku cemburu tapi aku terima milikku. Tertanam dalam diriku yang aku cukup menginginkannya. Satu ketika, kakak dan abangku sudah bekerja. Kadang mereka telefon ke rumah. ‘Adik nak seluar tak, untuk raya’. Mesti sahaja aku menjawab ‘ya’. Ketika pulang raya, aku menunggu seluarku. Tapi kakakku lupa. Aku tidak pula bertanya, tapi hatiku kecewa. Sejak itu, aku berhenti mengharapkan hadiah dari orang lain. Janganlah berjanji, sebab aku berharap pada janji dan kemudian aku kecewa dengan janji.

Melawat rumah kenalan ibu bapa. Selesai makan, ibu menyuruhku mengutip pinggan yang telah digunakan. Kulakukan tanpa banyak bicara. Kukutip dan kubawa ke singki basuhan. Tapi tuan rumah kata tak payah basuh, tinggal saja di situ. Aku si dunggu ikut sahaja katanya. Kemudian sepupuku yang lebih rajin dariku juga ke dapur. Tuan rumah katakan perkara yang sama padanya. Tapi dia lebih bijak, teruskan juga mencuci. Ibu menegur, kenapa ku tidak basuh tadi, lihat sepupuku itu, rajinkan. Aku terpinga lagi. Aku dicop sebagai pemalas.

Ibu dan ayah tiada di rumah. Ada tetamu bertandang. Mak saudaraku menegur di luar. Dia menyuruhku membancuh air. Tetamu kata ‘tak payahlah susah-susah’. Aku masuk ke dalam, jerang air. Tapi tetamu kuat menyatakan tak payah bancuh air. Jadi aku tak buatlah. Muka tetamu tampak lain. Mak saudaraku menegur, kenapa tak buatkan air, akhirnya mereka pulang tanpa minum air. Apalah bengap aku ini. Mereka hanya berbasa-basi. Aku tak tahu adab menlayan tetamu rupanya.

Paling kelakar adalah dalam berbasa-basi ni bukan berbasa-basi. Lebih kepada cakap berlapik kalau nak menegur atau marah, dan ayat lain makna. Selalunya cakap berlapik ni pandai la aku faham. Tapi ayat lain makna ni masalah la. Aku ni membesar dalam keluarga yang agak bertertib. Maksud aku, keluarga aku tak pernah menggunakan bahasa tak sopan. Paling teruk aku cakap pun 'bangang', 'bengong', 'jahat', 'hampeh'. Tak pernah lagi aku mencarut sebagaimana sesetengah kawan-kawanku. Kerana tidak biasa, aku tak kisah menyebut 'babi' untuk menggambarkan babi sendiri. Pelik aku bila ada sesetengah orang tak sanggup sebut babi untuk menyebut makhluk tersebut. Mereka akan guna perkataan yang lebih sopan seperti khinzir. Apa bezanya babi dengan Khinzir? Maksud sama juga. Tapi mereka taknak gunakan kerana biasa menggunakan babi untuk mencarut*.

Satu lagi ayat lain makna yang aku tak faham, tapi aku memang taknak faham dan walaupun aku faham, aku akan buat tak faham, adalah ayat-ayat dari lelaki-lelaki gatal, biasanya yang dah berkahwin. Sejak praktikal, aku mengenali dunia ni. Di mana mereka ni bergurau dengan menggunakan ayat-ayat yang bunyi tak lucah tapi ada maksud lucah. Tak payahlah aku sebut di sini, geli la. Biasalah gunakan perwakilan untuk menggambarkan bahagian-bahagian tertentu atau keadaan masa tertentu. Teringat aku beberapa kali aku tersalah cakap. Susah cakap dengan orang otak ‘kuning’ ni. Tetiba jer aku kena gelak. Sebab perkataan yang aku guna tu ada pengertian lain yang berunsur lucah. Hello, aku tak bermaksud cakap benda tu yer. Apa aku cakap itu la aku maksudkan. Susah-susah.

Hai banyak sungguh kesilapan demi kesilapan yang aku pernah lakukan hanya kerana aku tak faham. Semua tu aku faham sendiri setelah sekian lama. Yelah nak cakap macam mana. Semuanya adalah perkara yang memalukan. Buat malu jer.. haha.. Tapi itulah kelebihan dan kelemahan orang melayu.. Orang kata , 'Cakap Berlapik' demi menjaga hati. Masalahnya tak semua orang faham. Sekarang ni aku faham la, tapi tengoklah umurku kini. Pelik juga kalau tak faham. Sekarang terpaksa pula menerangkan kepada teman-teman bangsa lain, maksud terselindung di sebalik ayat. Malah aku bernasib baik kerana sekelilingku adalah dunia terkawal. Belum lagi aku terdedah dengan dunia yang tak berapa nak terkawal percakapannya. Ada, cuma jarang kena. Kalau tak mahu runsing aku jadinya. Pernah aku berkawan dengan budak yang mulutnya sering terkeluar perkataan-perkataan yang kasar maksudnya. Terpaksalah la buat masuk telinga kiri keluar telinga kanan (terbalik pun boleh la.)



Walaupun kita bercakap bahasa melayu dari kecil, banyak lagi yang tak tahu. Susah betul bahasa ni. Kalau senang mesti semua budak melayu boleh dapat 'A' untuk subjek bahasa melayu kan. >__<

Reaksi

0 komentar:

Post a Comment